Author: Tinta Taghyir
•4:00 AM

Badiuzzaman Said Nursi dilahirkan di perkampungan Nurs di Wilayah Bitlis, yang terletak di timur Anatolia pada tahun 1876M, iaitu tahun Sultan Abdul Hamid II menaiki takhta pemerintahan Uthmaniyyah. Beliau yang kemudiannya diberi gelaran Badiuzzaman (Keagungan Zaman) berketurunan Kurdi dan tidak bertutur di dalam Bahasa Turki, hinggalah beliau berhijrah ke bandar Van.

Semasa di Van, beliau telah membuat analisa terhadap tahap kefahaman masyarakat tempatan, khususnya kaum Kurdi terhadap Islam. Akhirnya beliau membuat kesimpulan bahawa beliau berkewajipan untuk belajar ilmu-ilmu Sains supaya dapat disinergikan dengan ilmu teras Islam yang lain. Badiuzzaman Said al-Nursi telah meluangkan masa belajar dengan tekun ilmu Geografi, Fizik dan Falak.

Beliau seterusnya mengusahakan agar ilmu Sains ini diajar seiringan dengan ilmu agama agar mereka yang tidak dapat memahami kecuali melalui ‘bahasa Sains’ akan dapat juga sampai kepada hakikat Iman.

Ketika berlakunya kucar kacir besar-besaran di Istanbul pada 13 April 1909 yang membawa kepada tersingkirnya Sultan Abdul Hamid II dari takhta Khalifah, Parti Ittihad ve Terakki telah pun menguasai negara. Mereka telah menangkap ramai sarjana Islam dan diheret ke muka pengadilan. Di antara mereka itu ialah Badiuzzaman Said al-Nursi. Tetapi disebabkan oleh kepintarannya berhujah, mahkamah gagal mensabitkan beliau dengan sebarang pertuduhan, dan akhirnya dibebaskan.

Badiuzzaman Said al-Nursi juga pernah pergi ke Syam (Damascus) dan menyampaikan khutbahnya di Masjid al-Umawi di sana. Khutbah yang disampaikannya di situ dikenali sebagai al-Khutbah al-Syâmiyyah, menjelaskan tentang sebab-sebab kemunduran umat Islam sebagaimana yang diperhatikannya.

Beliau juga telah secara sukarela menyertai Perang Dunia Pertama bersama-sama dengan 3000 orang anak muridnya. Mereka bertempur dengan tentera Russia yang bekerja keras menawan Bitlis. Selepas ramai tentera Russia terbunuh di satu pihak, serta tentera Islam dari kumpulan Turki dan Kurdi di satu pihak yang lain, akhirnya Bitlis jatuh ke tangan Russia. Badiuzzaman Said al-Nursi telah ditawan dan dipenjarakan. Akan tetapi, semasa di penjara itu, beliau tetap meneruskan kerjanya mengajar Islam kepada tawanan perang.

Badiuzzaman telah berjaya melepaskan diri dari tawanan tersebut dan melarikan diri ke Siberia. Kemudiannya beliau ke Eropah dan seterusnya pulang ke Istanbul melalui Warsaw, Berlin dan Vienna.

Di Istanbul, Enver Paşa yang merupakan Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu telah mengurniakan Badiuzzaman Said al-Nursi pelbagai anugerah kehormat di atas jasanya memimpin orang ramai ke arah bangkit menentang penjajahan Russia. Enver Paşa juga telah melantik beliau menjadi anggota Darü’l-Hikmeti’l-Islamiye, sebuah akademi yang menghimpunkan sarjana Islam di Istanbul ketika itu.

Selepas berlakunya Perang Kemerdekaan dan berjayanya Turkish Grand National Assembly dibentuk, kabinet Atatürk telah menjemput Badiuzzaman menyertainya di Ankara. Jemputan itu diterima, namun selepas tibanya Badiuzzaman ke Ankara, dia tidak dapat bersekongkol dengan mereka kerana beliau mendapati anggota kabinet itu tidak patuh kepada Syariat Islam.

Beliau menegur Atatürk dan anggota kabinetnya, “tidak ada kebaikan yang boleh saya harapkan daripada golongan yang mengabaikan Solat!”
Selepas itu, Badiuzzaman Said al-Nursi meneruskan kegiatannya berdakwah, mendidik masyarakat dan sentiasa berulang alik di antara penjara dan pembuangan, hasil tekanan yang dibuat oleh regim Atatürk.

Pada tahun 1935, kerajaan Republik Turki telah membuat pertuduhan terhadap Badiuzzaman bahawa kononnya beliau menubuhkan sebuah gerakan rahsia yang menentang pemerintah. Beliau telah didakwa di Mahkamah Eskişehir dan kemudiannya dibuang ke Kastamonu. Manakala pada tahun 1943, Mahkamah Denizli telah mendakwa Badiuzzaman Said al-Nursi bahawa beliau memimpin sebuah pergerakan rahsia yang bertujuan menggulingkan pemerintah, serta menuduh Atatürk sebagai ‘Dajjal dan Pembinasa Agama’. Pendakwaan itu berlangsung selama 9 bulan. Beliau akhirnya dibebaskan daripada pertuduhan tetapi ditahan daerah di Emirdağ, sebuah bandar di daerah Afyon.

Pada tahun 1952, Badiuzzaman tiba di Istanbul tetapi kemudiannya pulang semula ke Emirdağ dan di peringkat inilah, risalah-risalah karangannya, dikumpul dan ditulis dengan huruf Arab untuk disebarkan kepada orang ramai. Pengikut Badiuzzaman menjadi semakin ramai khususnya selepas tahun 1950 iaitu di era pemerintahan İsmet İnonu.

Penulisan Badiuzzaman telah menjadi pembimbing yang besar kepada umat Islam di Turki. Beliau menulisnya secara non linear iaitu mentafsirkan ayat-ayat al-Quran bukan mengikut susunan Surah atau Ayat. Sebaliknya berdasarkan kepada keperluan masyarakat menerusi isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa. Beliau sendiri menggelar Risalahnya sebagai “penolak keraguan yang ditimbulkan oleh Syaitan-syaitan Jin dan manusia, serta pengukuh Aqidah kaum Muslim di jalan yang Haq dan betul”

Pada tahun 1960 Said al-Nursi berhasrat untuk berpindah dari İsparta ke Urfa. Di rehlah kali inilah, Badiuzzaman Said al-Nursi menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas suatu perjalanan hidup yang panjang dan berliku, iaitu pada 23 Mac 1960 bersamaan 25 Ramadhan 1379. Beliau selamat dikebumikan di Urfa.

Akan tetapi pada 11 Julai 1960, Revolusi Tentera telah menggulingkan pentadbiran kabinet Adnan Menderes dan beliau sendiri dihukum gantung oleh pihak Tentera dengan alasan bersikap acuh tidak acuh di dalam mengekang kebangkitan semula golongan pro-Islam. Pada masa itulah, anggota revolusi telah mengarahkan supaya makam Badiuzzaman Said al-Nursi dibongkar dan jenazahnya dikeluarkan untuk dipindahkan ke İsparta. Di bandar itulah, Badiuzzaman Said al-Nursi bersemadi di suatu tempat yang tidak diketahui, hingga ke hari ini.

Badiuzzaman Said al-Nursi telah mewariskan hasil pemikirannya di dalam jumlah yang besar. Antaranya ialah:

1.Rasâil al-Nur yang terdiri daripada 130 Risalah, terbahagi kepada:
a.Sözler (al-Kalimât) yang terdiri daripada 33 Risalah.
b.Mektubât, terdiri daripada 50 Risalah.
c.Lem’ât, terdiri daripada 15 Risalah.
d.Juzuk tambahan kepada Rasâil al-Nur iaitu Lâhika Kastamonu, Lâhika Emirdağ dan Lâhika Barla.

2.Tulisan-tulisan lain seperti İşaratü, Mesnevi-i Nuriye dan sebagainya

Dakwah yang dilakukan oleh Badiuzzaman Said al-Nursi menonjolkan kesungguhan beliau memecahkan kebekuan tradisi pengajian ilmu Islam, mendorong kepada penguasaan ilmu Syariat dan Sains dan saling mempergunakan kedua-dua ilmu tersebut ke arah memahami hakikat Iman.

Beliau tidak banyak mendatangkan perselisihan pandangan Ulama, sebaliknya banyak memfokuskan kepada meneroka pelbagai kaedah penyampaian demi membolehkan semua lapisan masyarakat dapat memahami mesej yang hendak diketengahkan.

Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran untuk Badiuzzaman Said al-Nursi yang kehidupan dan matinya bujang, kerana berkahwin dengan perjuangan yang gigih dan berpanjangan.

Sumber:
Kertas kerja Seminar Di Ambang Keruntuhan Uthmaniyyah: Pengajaran Buat Ummah oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil pada 4 Februari 2006. Artikel asal bertajuk Dakwah Badiuzzaman Said al-Nursi.


sumber : Taman Ulama
Author: Tinta Taghyir
•9:25 PM














Dipetik dari blog Ustaz Yusainie


Bismillah,wal hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala saiyyidil mursalin Nabiyyina Muhammadin, wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’ien, wa ba’du :

Salam ISLAH, "Di sana ada lagi satu penyelewengan yang boleh menjauhkan kita dari jalan yang sihat iaitu kita memandang ringan terhadap proses tarbiah, pembentukan dan perlunya beriltizam dengan ajaran Islam dalam membentuk dasar dan asas yang teguh.

Lantas kita seolah-olah melatah lalu menggunakan cara dan uslub politik menurut sikap dan telatah parti-parti politik. Kita akan mudah terpedaya dengan kuantiti anggota yang kita ambil yang dianggap menguntungkan tanpa mewujudkan iltizam tarbiah.

Ini adalah satu jalan dan cara yang sangat merbahaya yang tidak dipercayai akibatnya. Ini mungkin menyediakan anasir yang kukuh yang mampu memikul hasil kemenangan, kekukuhan dan kekuasaan untuk Islam.


Sebenarnya kita tidak kekurangan kuantiti, tetapi kita kekurangan kualiti. Kita kekurangan bentuk dan contoh Islan yang kuat imannya yang membulatkan dirinya untuk dakwah, rela berkorban pada jalan dakwah dan jihad fi-sabilillah dan yang sentiasa istiqamah hinggalah bertemu Tuhannya.

Oleh kerana itu marilah kita beriltizam dengan tarbiah dan janganlah kita redha menukarkannya dengan cara yang lain."Demikianlah bunyinya teks usrah tarbawi Darul Islah yang saya pimpin setiap Isnin saban minggu.Ia adalah terjemahan tulisan ash Sheikh al Mujahid Musthofa Masyhur (mantan Murshid 'Am Ikhwan al Muslimin).

Setelah hilang kemalasan saya sari dua ini akibat letih benar otak saya ni dengan isu muzakarah UMNO-PAS, maka malam inilah baru ada kekuatan untuk menulis kembali isi usrah Isnin yang lepas.Saya katakan kepada pemuda-pemuda di hadapan saya bahawa antara penyelewengan terbesar di dalam sebuah gerakan Islam bilamana diletakkan politik di hadapan tarbiyyah.

Hilang agenda tarbiyyah dalam gerak kerja parti dan jamaah. Tidak sepatutnya gerak kerja parti dipisahkan dari tarbiyyah. Hatta bila berpolitik sekalipun, ia adalah satu proses tarbiyyah kepada kita. Dalam isu muzakarah, nampak sangat Allah mahu mentarbiyyah dan menguji kita.

Dalam gerakan Islam, proses pemeliharaan Allah terhadap perjuangan menegakkan agama pasti berlaku. Dalam masa yang sama, proses penapisan juga berlaku. Allah SWT pasti akan membersihkan perjuangan ini dari jiwa-jiwa yang tidak ikhlas. Mereka yang mempunyai matlamat duniawi dan agenda peribadi dalam perjuangan tidak layak duduk dalam perjuangan Islam.

Bila Tuan Guru Presiden mengambil keputusan bertemu Pak Lah, ada orang kata Tuan Guru Presiden dan sebahagian pimpinan PAS sudah tertarik dan terpedaya dengan tawaran duniawi Pak Lah. Sebenarnya kita akan melihat siapa yang sebenarnya yang tertarik dengan tawaran duniawi tersebut dan akan dinyahkan oleh Allah SWT dari perjuangan suci ini.

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan Sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya” Surah Al Hijr : 9Kefahaman terhadap nas di atas ialah Al Quran akan dipelihara Allah selama-lamanya. Termasuk dalam maksud pemeliharaan Allah SWT terhadap Al Quran ialah Allah akan memelihara orang-orang yang berjuang menegakkan Al Quran sebagai hukum dan mengangkat kemuliaan Al Quran ditempatnya.

Termasuklah jua kumpulan manusia atau jamaah yang berjuang menegakkan hukum Al Quran, mereka akan dipelihara oleh Allah SWT dari segala kejahatan dan unsur-unsur yang tidak baik.Antara kaedah Allah memelihara perjuangan Islam adalah Allah turunkan ujian, Allah jadikan halangan serta kepayahan menghiasi dan menjadi latar belakang kepada perjuangan suci ini.

tarbiyah1


Dengan sendirinya, ,mereka yang ikhlas dalam perjuangan akan terus istiqamah dengan rahmat Allah SWT dan mereka yang punya niat yang jahat dan kotor tidak akan punya daya ketahanan dan akhirnya akan memilih jalan lain yang jauh lebih senang berbanding jalan perjuangan ini.

Maka berlakulah tapisan Allah SWT terhadap hamba-hambaNya yang beriman.

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu.”

Surah Muhammad : 31

Kalau tarbiyyah tidak dijadikan asas dalam perjuangan, mana mungkin akan terbitnya daya tahan dalam berhadapan dengan ujian Allah SWT. Jangan saudara bayangkan bahawa hanya dikatakan ujian itu ialah bila dipenjarakan, disiksa, dipulau dan sebagainya.

Itu semua tidak kita nafikan. Namun terkadang kita lupa bahawa ujian Allah itu boleh berlaku dalam perkara yang kita tidak sangka. Ujian emosi dan perasaan juga boleh berlaku. Rasa mahu berkuasa, mahu cepat jadi menteri, gila pengaruh , mahu menonjolkan diri untuk cepat naik dan perlbagai lagi.

Dalam usrah kita bincangkan teladan hebat Saiyyiduna Khalid Al Walid yang meneruskan perjuangan hingga selesai walau menerima surat pelucutan jawatan dari khalifah. Betapa beliau mengenepikan perasaan dan emosi demi memastikan kejayaan jihad.

Namun bila ujian yang sama menimpa kita, belum tentu kita dapat mengambil langkah seperti SaifulLah al Maslul Khalid al Walid rdh.

Di sinilah letaknya kepentingan tarbiyyah yang menjadi tunjang kepada setiap kerja buat gerakan Islam. Menjadikan anggotanya sentiasa segar dan teguh pendirian dalam setiap ehwal dan keadaan. Memburu kemuliaan kemenangan dan syahid di medan juang.

Author: Tinta Taghyir
•7:29 AM

FAJAR ISLAM

Fajar Islam telah menyinsing
Menyinari ke seluruh alam
Membawa rahmat kepada manusia
Jadi panduan kita semua

Agama Islam agama suci
Menyelamatkan jiwa insani
Nabi Muhammad sebagai utusan
Membawa berita yang gembira

Allah Allah
Jadikanlah sunnah Rasul
Sebagai kenderaan

Allah Allah
Para sahabat tabiin
Jadi contoh dan juga teladan

Allah Allah
Jadikanlah kitabullah
Sebagai panduan

Allah Allah
Marilah susun barisan
Para mujahid berganding tangan

Allah Allah
Binalah iman dan taqwa
Buanglah sifat mazmumah

Allah Allah
Binalah kembali
Keagungan Islam tercinta

Dikala Islam sinar cahaya
Hilanglah gelap datang suria
Kebenaran pasti tertegak

Author: Tinta Taghyir
•7:23 AM

Agama Islam adalah agama Allah yang sempurna kerana sebagai agama penyempurna dari agama rasul terdahulu (yahudi dan nasrani)

Firman Allah:
…..pada hari telah ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah kucukupkan nikmatku kepadamu dan telah kuredhoi Islam menjadi agama bagimu”

Islam sebagai agama rahmat dan datangnya dari Allah langsung melalui Rasul Muhammad saw. untuk seluruh umat manusia

Islam harus berdiri tegak dimuka bumi ini tanpa ada kekerasan.
dengan semangat jihad fisabilillah kita harus memerangi mereka yang menghina agama islam dan yang paling utama bagi kita adalah memerangi hawa nafsu kita.

Oleh sebab itu kita sebagai kaum muslim hendaknya menjaga nama baik Islam jangan sampai Islam yang agung ini tercoreng kerana perbuatan kita sendiri yang kurang faham dengan arti jihad….

Jihad memang diwajibkan bagi umat islam tapi kita sekarang bukan jihad untuk membunuh orang melainkan untuk memerangi hawa nafsu kita yang dapat menghantarkan kita kepada kejahatan.

Islam harus tetap tegak berdiri dan harus terus berkembang dan maju menjadi agama yang hakiki(agama islam yang sebenarnya).

Semoga allah memberikan kekuatan kepada kita semua untuk menjaga agama yang di redhoi ini (islam).

amin…

"Mengembalikan 'Izzah Islam yang pernah dicemari"